Thursday, January 12, 2012

kisah cinta separuh hala.

aku adalah sebiji belon warna merah, sederhana. aku tak besar mana, tapi aku gembira. satu hari, aku rasa nak terbang saja. terbang dan terbang, lihat dunia luar sana. aku terbang melintasi pokok-pokok yang ada, sampai aku terjumpa dia.

dia, seorang budak lelaki kecil. nama dia Adik. Adik ambil tali aku, bawa aku pulang ke rumah. aku mengikut saja, sebab aku suka lihat Adik ketawa. aku suka lihat orang lain gembira, walaupun aku cuma belon sederhana. Adik ikat tali aku di tombol pintu, lalu Adik lari dalam pelukan papa. aku tak kenal mereka, tapi aku senyum lihat mereka bahagia.

Adik selalu bawa aku jalan-jalan lihat dunia. aku gembira lihat dia gembira. tapi aku lagi gembira bila dia selalu isi aku dengan udara. dari sekecil muka, aku membesar bersama-samanya. kami ceria bersama, jalan-jalan sini-sana. bila pulang ke rumah, Adik ikat tali aku di tombol pintu, lalu Adik lari dalam pelukan papa. papa pun selalu teman Adik lihat aku dengan ceria.

satu masa, Adik dan papa tinggalkan aku seminggu lama. terikat aku di tombol pintu itu sahaja. tiada dunia, habuk meliputi muka. udara mula meninggalkan raga. bila Adik balik, aku lihat kesakitan Adik di muka. papa diam seribu bahasa. kenapa?

Adik makin selalu bawa aku jalan bersamanya. bila dia sedih, marah, kecewa, dia isi aku dengan udara. dan aku lihat dia pulih seketika. bila aku membesar semula, dia kembali ketawa. masa itu aku mula berazam, aku takkan tinggalkan dia. Adik punya perbuatan dan kata, aku sudah boleh meneka. itu buat aku istimewa. sebab yang boleh teman Adik, aku seorang saja.

Adik bawa aku pulang, ikatku di tombol pintu semula. tiba-tiba papa datang bawa gula-gula. terus Adik menjerit gembira, lalu Adik lari dalam pelukan papa. papa dukung Adik dan mereka menari macam dunia ini mereka yang punya. tapi Adik tak sedar hari ini taliku longgar ikatannya. aku menjerit, meminta, tapi mereka dengan dunia mereka. perlahan aku terbang jauh dari mereka. aku terlanggar bucu meja. sakit, macam tercucuk duri berbisa. 

aku keluar dari sana. kenapa? azam aku untuk tak tinggalkan Adik, apa kesudahannya? ironik, perbuatanku sendiri aku tak mampu nak teka. biarlah aku bawa diri kemana-mana. tapi dalam hati masih tak putus meminta - Adik, sebelum terlewat, peganglah taliku semula. dan aku akan menjadi teman yang paling setia. jika tidak, aku akan kembali menjadi sederhana. musnah rasa percaya.



sebab aku sayang dia.

No comments: