Thursday, September 20, 2012

Akhir.

Macam barang lama.
Bila dibelek, bosannya.
Nak dibuang, sayangnya.
Lalu disimpan semula.
Mengharap masa pulihkan segala
Jika tak mampu diputar tujunya.


Macam barang terbuang
disorok jauh ke dalam gudang
Walaupun zahirnya di mata hilang
Tapi di hati tetap terngiang
Agar peluang ia kan datang
Agar jasanya terus dikenang.


Jujur, aku tak reti bermain kata.
Aku tak mahu permainan minda.
Kita, macam barang lama.
Yang aku masih menunggu masa
Untuk aku putuskan nasibnya.
Keseronokan reput digigit masa.
Tiada lagi rasa gembira
Menonton jalan cerita yang sama
Sampai bulan keempat puluh tiga.


Cuma aku tetap berpegang
Sampaikan air mata bergenang
Hingga hati dirobek tulang
Walaupun jasad jatuh terlentang
Luka di badan merah berbelang
Siang, malam, pagi, dan petang -
Pada suatu barang terbuang
Semata-mata sebab sayang.


Pedulikan kecewa dan air mata
Lantakkan apa orang nak kata
Biarkan sunyi selubung dunia.
Aku sanggup asalkan saja
Kau kembali jadi dia
yang pernah taruhkan masa rehatnya
yang selalu usaha fahami jiwa
yang sentiasa lukiskan senyum di muka
Hanya dengan sebiji gula-gula.

Thursday, September 13, 2012

favourite scars

Aku jumpa satu persimpangan.
Satu ke kiri, satu ke kanan.
Kiri, pondok tukang kayu budiman.
Kanan, istana indah putera idaman.
Hati dan minda bergelutan.

Lama berdiri,
akhirnya kudengar kata hati.
Berlari
atas jalan tidak berduri
bunga merah disana-sini
awan redup sembunyi matahari
seolah merestui permintaan hati.

Tapi perlahan, aku terhenti.
Minda terus pasangkan memori
Saat sekeping roti dikongsi
saat berteduh bawah jerami
saat aku dijaga sepenuh hati.
Lalu aku pusing kembali.
Berlari kembali.

Aku tak kisah
Duri di jalan semua ku redah
walau hujan mencecah tanah
walau diri diselubungi lelah.
Sebab mataku cerah.
Walau jalannya tak pernah mudah
aku tahu pilihanku tak salah.

Aku petik bunga-bunga berduri
dan aku gubah seindah pelangi.
Walau darah mengalir di jari
air mata mengalir di pipi
mindaku dah tuli.
Demi tukang kayu idaman hati.

Jantung berdegup umpama jam randik.
Saat tukang kayu senyum melirik

Pada seseorang yang lebih cantik.
Nafas tertarik.
Hati tercarik.
Segala-galanya berubah statik.
Titik.

Wednesday, September 5, 2012

jawab.

macam kau tak nampak dia
yang rela berkorban segala
dan kau kejar seorang manusia
yang kau cuma tahu namanya.

macam kau selalu ketawa
saat kau ingin bersama
tapi terus masam mencuka
selepas impian kau terlaksana.

macam orang yang kau suka
dah ada penghuni hatinya
yang dalam diam mencinta
dia yang setia pada kau yang buta.

macam ada secubit benci
dalam seribu rasa sayang
macam barang lama disembunyi
walau kau rasa nak buang.

macam bersama dengan yang diingin
lagu kecewa kedengaran gembira.
macam hubungan dilanda dingin
lagu cinta pun bawa sengsara.

ironiknya, cinta.
macam lawak jenaka.
buatkan kau tertanya
impianmu, siapa sebenarnya?