Monday, August 6, 2012

surat untuk puaka

first time kita jumpa memang betul-betul hari ni kan? kau bagi surat kat aku, suruh tunggu bawah pokok tepi taman pukul lapan. aku ingat lagi aku pakai baju petak-petak, kau pakai blaus ada corak ikan. kau cakap kau nak berkenalan. aku geleng kepala, aku dah bagitahu aku banyak kekurangan. tapi kau kata kau tak heran. sebab belakang satu kekurangan aku, kau nampak seribu kelebihan.

lepas tu, setiap hujung minggu mesti kita lepak bawah pokok ni. tak cakap apa-apa pun, cuma tengok dalam mata masing-masing, lepastu malu sendiri. aku selalu bawa sketch book aku pergi sini. aku lukis muka kau, sebab kau macam bidadari. masa aku tenung kau, mesti kau buat-buat tak perasan aku tengah syok perhati. lepas tu tiba-tiba kau tarik sketch book aku dan cium pipi aku belah kiri. lepas tu kau malu lagi. ah, gembiranya hati!

sampai 1 September, kau cakap kau nak aku jadi kau punya. aku macam biasalah, geleng kepala. beza aku dengan kau tujuh petala langit dan dunia. aku tak ada benda yang orang lain ada. tapi kau peluk aku tak nak lepas-lepas sampai aku angguk "ya". kau kata memang aku tak perfect, tapi hati aku kau tetap akan jaga. nervous gila! serah hati dekat seseorang, bagi aku itulah kali pertama. rasa campur-campur - seronok, risau, selamat... tapi paling banyak bahagia.

aku sepatutnya dah faham perangai puaka. dalam bulan pertama, kau dah marah-marah sebab kau call aku, tapi aku diam seribu bahasa. tak pun, aku biar je phone tu berdering lama. aku dah terangkan semua, tapi aku rasa kau lupa. tak pun kau suruh at least mesej - kalau tak, handphone tu apa guna? tapi aku tak suka mesej sebab aku tak boleh cerita semua benda lengkap dengan perasaan segala. bulan kedua, kau kata pulak "kita dah tak berkomunikasi". sedihnya aku masa tu, retak seribu hati. tiap kali kau cerita masalah, dan aku jadi tukang dengar, takkan itu tak cukup lagi? masa kau sedih, aku peluk. masa kau marah, aku genggam tangan kau. masa kau happy, aku senyum sekali. tak cukup lagi komunikasi?

akhirnya baru aku faham. selama kita bercinta, aku tak pernah cakap "i love you", sebab tu kau geram. tapi dah hari-hari aku bagitahu aku sayang kau, kau je yang tak faham-faham. masa aku tulis operasi Matematik 7i < 21u atas kertas dan mintak kau selesaikan, benda tu kau terus padam. sebab kau kata benda-benda Matematik ni boleh pergi jahanam. padahal kalau kau bahagi tujuh, jawapan dia adalah "i < 3u", tapi kau yang memang tak nak faham. bila aku tulis "aku cinta kamu" atas kertas, kau diam. kau cakap tak best, sebab perasaan kau masa baca tu, tak mendalam. bila aku tenung mata kau dalam-dalam, tangan kau dua-dua aku genggam... takkan kau still tak faham? dasar lembam. 

7 Disember, kau tinggalkan aku akhirnya. lukisan aku, semua kau letak begitu saja atas meja. aku bangun tidur pagi-pagi, di sisi aku cuma tinggal satu nota. alasan kau, kau tak pernah dengar aku ucap ayat cinta. bongok gila. tak ucap tak semestinya tak bermakna. tapi, kau tahu apa? kau kan puaka.












Aihh. memang susah jadi orang bisu.

2 comments:

HNKIECRSH said...

Hahahaha. Gila punya puaka.

Atiqah Shaharudin said...

kan. puaka celaka.