Sunday, November 25, 2012



Empat puluh lima.
Engkau masih di sana,
aku masih menunggu yang takkan tiba.
Kembali ke titik tiga.


Aku selalu berdoa
kau akan bosan dengan kerja,
dan kembali pada kita.
Cuma bila sampai masanya,
aku mungkin sudah berpunya.



Sunday, November 4, 2012

Logik Hati.


Aku pemuja si Raja Bintang.
Sebab dia, malamku terang.
Mimpikan dia, aku boleh terbang.
Fikirkan dia, hatiku tenang.
Demi dia, mata tersengkang.
Umpama minyak ditatang, Sultan dijulang.


Sesaat kemudian, dialah Dewa Malang.
Guruh ribut taufan mendatang.
Mata keliru dek gerakan bayang.
Air mata bergenang berlinang.
Badan jatuh melintang,
bala menunggu di simpang.


Minda haruslah pada sang bintang.
Terang, tenang, indah terbentang.
Namun hati dahagakan yang malang.
Garang, Badang, panglima perang.
Tapi mata, kenapa kau rambang?
Kedua-duanya adalah seorang.
Yang aku bengang, yang aku sayang.


Tahniah, sayang.
Kau buat aku gila bayang
mabuk kepayang
sekejap ketawa sekejap berang
Hanya kerana kau seorang.
Cinta, kaulah pemenang.

Tuesday, October 30, 2012

Satu Hari Nanti.

"Aku suka kamu." 
Dia pandang bawah, tengok aku. 
"Merepek." Kata dia, sambil berlalu.

Tapi hari ini, aku dah nekad. 
Hingga akhir kudrat, 
aku nak kejar dia hingga aku dapat.

"Jangan pergi." Aku tarik bajunya di lengan. 
"Dengarkan."

"Kau umpama adik. Tak lebih." 
Dia seakan merintih, berdolak-dalih. 
Berkalih.

Akhirnya, 
aku genggam tangan dia. 
Terpana. 
Diam dua ketika.

Dia tak mampu. 
Tak mampu lepaskan aku. 
Jantung keduanya berdegup laju. 
Aku dah buntu. 
Aku perempuan, tahu. 

"Aku sudah ada yang punya." 
Dia berkata. 
Tak mampu menyambung bicara, 
apatah lagi pandang dalam mata.

"Aku tahu." 
Membisu. 
"Andai dia pergi, kahwin dengan aku." 





Tujuh tahun sudah.
Aku toleh sebelah.
Bukan dia yang pernah.
Hati. Boleh berubah.

Thursday, October 25, 2012

untuk pertama kali.

Kalau disukat air mata melimpah
Andai dikumpul, dah jadi lembah.
Kalau dikira senyuman gembira
Bersinarlah dunia seabad lamanya.

Kadang ada, kadang tiada.
Kadang gembira, selalu duka.
Marah. Rengsa. Lelah. Kecewa.
Putus asa?
Jujur, seratus kali cuma.

Masakan ini bukan cinta.
Kalau tahi dibalas bunga.
Kalau batu diganti nyawa.
Kalau luka dicium mesra.
Kalau celaka dianggap bahagia.
Rasa sudah menjangkaui segala.
Orang kedua, tiga, empat, dan lima
Takkan mampu runtuhkan kita
dan tembok rasa yang aku dah bina.

Andai kau anggap ini pengorbanan,
dengarkan dan fahamkan.
Kekurangan sebesar Gunung Tahan
  kau anggap indah ciptaan Tuhan.
Buah fikiran yang orang tak hairan
Kau ikatkan reben, kemas kau simpan.
Kata yang mereka rasakan beban
Kau peluk erat dalam dakapan.
Ini bukan lagi pengorbanan.
Jauh sekali balasan.
Ini perasaan.
Yang aku sorokkan berpuluh bulan.

Jadi, aku persembahkan sekeping surat
Ucapan bulan keempat puluh empat.
Tutup matamu rapat-rapat
Rasakan aku dalam tiap keringat.
Aku cinta kamu. Sangat.
Biar terdengar timur ke barat.
Biar dikeji biar diumpat.
Asal hatimu, aku yang dapat.



Friday, October 5, 2012

Unsur.

Benda-benda kecil.
Di mata kamu saiznya kerdil.
Di mata aku sebesar Bukit Jalil.
Ganjil.

Kuman bagi kamu,

itulah emas bagi aku.
Yang kau biarkan berlalu,
aku torehkan atas batu.

Orang kata kita tak sama.
Cuma satu penyelesaiannya.
Aku perlu belajar menerima
bila kau bersambil-lewa.

Benda-benda sekecil kutu
Yang orang lain tak pernah ambil tahu.
Itu yang indah pada aku.
Itu sebabnya aku suka kamu.
Tapi, sudahnya kutu tetap kutu.
Matinya dihimpit kuku.

Memang aku keterlaluan bila
Lori bergerak dianggap gempa.
Gula-gula makanan syurga.
Kata-kata umpama bisa.
Alih mata penentu rasa.
Senyum bawa seribu makna.
Perempuan gila.
Merungut je kerja.

Aku harap kau tahu rasanya

jadi orang yang sama gila
bila maaf kau akhirnya
umpama angin menyapa telinga.